Mengurus Amanah Rakyat
Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan (PPLRNK) ditubuhkan pada tahun 2006 berperanan sebagai tulang belakang kepada Kerajaan Negeri Kelantan dalam aspek pembangunan sosial dan ekonomi khususnya dalam sektor perladangan. Dalam merealisasikan hasrat dan usaha Kerajaan Negeri ke arah mengatasi dan mengurangkan kemiskinan, PPLRNK bertanggungjawab melaksanakan program Pembangunan Ladang Rakyat untuk manfaat rakyat.
Program Pembangunan Ladang Rakyat adalah satu pendekatan Kerajaan Negeri dalam membantu rakyat untuk meningkatkan ekonomi isi rumah dengan bantuan kewangan RM200.00 sebulan hasil daripada pemajuan ladang sawit. Tanah-tanah Kerajaan yang berpotensi untuk dimajukan diberi hakmilik kepada PPLRNK untuk dimajukan. Program ini adalah inisiatif Kerajaan untuk melihat rakyat menikmati hasil daripada sumber yang ada dalam negeri ini supaya hasil yang diperolehi dapat dikongsi dan dimanfaatkan bersama oleh rakyat. Kerajaan Negeri Kelantan adalah kerajaan yang prihatin terhadap kemaslahatan rakyat.
Kejayaan PPLRNK yang dicapai pada hari ini adalah hasil dari satu perancangan dan perjalanan yang panjang, berterusan dan usaha gigih tanpa jemu. Nabi Muhammad S.A.W telah lama menunjukkan contoh teladan perilaku kerja keras di mana Baginda tidak hanya menghabiskan waktu untuk mengingati Allah SWT sahaja tetapi tetap bekerja keras untuk berdakwah, baik di Mekah mahupun di Madinah. Dari teladan tersebut, kita dapat meneladaninya untuk membiasakan perbuatan bekerja keras, tidak boleh hanya berangan-angan atau hanya bergantung kepada orang lain.
Oleh itu, untuk memastikan segala hasrat, matlamat dan objektif PPLRNK tercapai, saya berharap agar seluruh warga kerja terus komited untuk meneruskan kecemerlangan dengan berpegang teguh dengan matlamat dan dasar-dasar Kerajaan Negeri. Halatuju PPLRNK pada masa hadapan ditentukan oleh corak pengurusan dan pencapaian pada hari ini. Semoga jasa, bakti, keringat dan masa yang telah dikorbankan oleh pengurusan terdahulu dan pengurusan kini dibalas setimpalnya oleh Allah SWT jua. Allahu’alam.